Kronologi prasejarah Kronologi

Sedangkan amat penting kepada pengkaji sejarah, kaedah-kaedah penentuan kronologi digunakan dalam kebanyakan jurus sains, terutamanya astronomi, geologi, paleontologi dan archaeologi.

Dengan tiadanya sejarah bertulis dengan babad-babad dan senarai-senaraj raja, para pengkaji purba abad ke-19 mendapati bahawa mereka boleh mencipta kronologi relatif berasaskan teknik dan corak tembikar. Dalam bidang kaji purba Mesir, William Flinders Petrie mempelopori pentarikhan urutan untuk mendalami zaman Neolitik pradinasti dengan menggunakan kelompok-kelompok artifak sezaman yang tersimpan bersama-sama pada suatu waktu dalam kubur, serta menghitung undur secara teratur dari fasa-fasa bersejarah Mesir yang terawal. Kaedah pentarikhan ini dikenali sebagai penderetan atau seriasi.

Barang-barang tembikar yang ditemui bertingkat-tingkat di tapak-tapak yang agak terpencil, iaitu hasil daripada perdagangan, membantu untuk memperluas jaringan kronologi. Sesetengah budaya menyimpan nama yang diberikan berdasarkan bentuk-bentuk keciriannya kerana langsung tidak diketahui gelaran kendiri kaum kerabatnya: contohnya, "Orang Bikar" di Eropah Utara sewaktu alaf ke-3 SM. Pengkajian kaedah menyusunkan tembikar dan lain-lain artifak budaya dalam suatu turutan terdiri daripada dua peringkat iaitu pengelasan dan tiplogi. Pengelasan mewujudkan kategori untuk tujuan penghuraian, sementara tipologi bertujuan untuk mengenal pasti dan mengupas perubahan yang membolehkan artifak itu ditempatkan ke dalam turutan.[4]

Teknik-teknik makmal yang dicipta terutamanya selepas pertengahan abad ke-20 telah membantu untuk kerap-kali menyemak dan memperhalusi kronologi-kronologi yang dicipta untuk bidang-bidang kebudayaan tertentu. Kaedah-kaedah pentarikhan yang saling tidak berkenaan turut memperkukuh kronologi mengikut prinsip tahkik bukti. Secara ideal, bahan-bahan kaji purba yang digunakan untuk menentukan umur sesebuah tapak seharusnya saling melengkapi dan menyediakan cara untuk menyemak silang. Kesimpulan daripada hanya satu teknik yang tidak disokong sering dikira sebagai tidak boleh dipercayai.